Warak.

[CIRI-CIRI ORANG YANG WARAK]

Warak ini adalah salah satu ciri orang yang bertaqwa yang beriman kepada Allah سبحانه وتعالى. Warak ini maksudnya apa? Maksudnya adalah orang yang paling berhati-hati untuk mendapatkan redha Allah. Hati-hati betul. Jadi macam mana nak jadi orang yang paling warak? Iaitu kamu menjauhi segala larangan ataupun yang diharamkan oleh Allah سبحانه وتعالى.

Kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani Rahimahullah. Nak tahu seseorang itu orang yang warak ataupun tidak boleh dilihat melalui 10 ciri ini. Iaitu:

1)Menjaga lisan daripada mengumpat ataupun mengaibkan orang lain. Sepertimana Firman Allah سبحانه وتعالى “Janganlah kamu itu mengumpat atau mengaibkan salah seorang di antara ahli keluarga kamu.”

2)Menjauhkan dari sangkaan yang tak baik kepada orang lain. Firman Allah سبحانه وتعالى “Hendaklah kamu jauhi daripada banyak sangkaan kerana sebahagian besar sangkaan itu adalah dosa.”

3)Menjauhkan daripada memperkecilkan orang lain, menghina kepada orang lain, memperlekehkan orang lain, merendah-rendahkan kepada orang lain. Firman Allah سبحانه وتعالى “Janganlah sesuatu kaum itu memperlekehkan sesuatu kaum yang lain.”

4)Menutup mata pandangan daripada perkara-perkara yang haram. Firman Allah سبحانه وتعالى “Katakan kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah ianya untuk menutup pandangannya daripada perkara-perkara yang haram”. Walaupun ayat ini untuk lelaki tetapi perempuan pun sama juga.

5)Bercakap benar. Benarkan lisan itu. Kata Allah سبحانه وتعالى “Apabila kamu mengucapkannya hendaklah dengan adil dan benar.

6)Menyedari akan kurniaan Allah سبحانه وتعالى kepadanya supaya tidak sifat ujub bangga diri di dalam dirinya. Merasakan semua yang berlaku kepada dirinya adalah dengan izin Allah سبحانه وتعالى. Contohnya dengan izin Allah dia dapat solat. Sedekah pun dengan izin Allah سبحانه وتعالى dan sebagainya.

7)Menginfakkan hartanya kepada perkara yang haq dan tidak mengeluarkan hartanya kepada perkara-perkara yang haram.

8)Tidak dianya mengharapkan dirinya itu untuk ditinggi-tinggikan ataupun untuk dibesar-besarkan. Sentiasa tawadhuk. Tidak mengharapkan orang untuk memujinya, menyanjungnya. Ini adalah ciri orang yang warak.

9)Dia itu menjaga kepada solatnya kepada waktunya. Menjaga betul-betul dengan khusyuk dan kesempurnaannya.

10)Mantap dan berpegang teguh dengan pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Di zamannya Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah. Dia sangat kagum dengan seorang tabi’in tabi’in yang bernama Bisyr Al-Hafi Rahimahullah. Beliau adalah orang yang paling warak.

Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah pernah ditanya tentang hukum sesuatu tentang perkara syubhat maka dia mengatakan “Aku tak tahu, aku tak dapat nak jawab sebab aku masih lagi ada kalanya mengambil sumber daripada Baitulmal maka tanyalah kamu kepada Bisyr Al-Hafi kerana dia sedikit pun tidak pernah mengambil daripada sumber Baitulmal.” Subhanallah! Ini orang yang warak.

Suatu hari ada seorang perempuan datang kepada Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah minta fakta. Dia duduk disebalik hijab/tirai maka dia mengatakan “Wahai Imam Ahmad. Saya ini adalah di antara perempuan-perempuan yang duduk di kota ini yang mana sumber pendapatan kami ini adalah dengan mengambil upah menjahit.

Adapun kami disiang hari tidak ada waktu untuk menjahit kerana kami sibuk menguruskan rumahtangga maka kami hanya ada waktu malam sahaja. Jadi kami kalau menjahit di waktu malam, kami tidak ada lampu kecuali kami mengambil, penyuluh kepada kami untuk menjahit adalah cahaya bulan. Akan tetapi, maklumlah cahaya bulan ini bukan setiap malam cahaya terang kecuali hanya pada pertengahan bulan. Jadi sangat terbatas waktu kami di dalam kami untuk mengambil upah menyiapkan jahitan.

Cumanya wahai Imam. Pada awal-awal bulan adanya pesta yang dibuat oleh orang-orang yang sesat. Jadi pestanya itu gilang-gemilang sehingga cahayanya terang benderang kerana mereka menggunakan banyaknya kayu-kayu api yang dibakar sehingga cahaya-cahaya yang dihidupkan itu melimpah cahayanya ke atas bumbung-bumbung rumah kami sehingga kami boleh menggunakan cahaya itu untuk menjahit.

Saya nak tanya. Apakah hukumnya saya menggunakan cahaya tadi ini untuk saya menjahit itu?” Maka terkejut ketika itu Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah. Lalu beliau mengatakan “Kamu ini siapa? Boleh tak kamu memperkenalkan dirimu kerana aku nak kenal.”

Maka perempuan itu mengatakan “Aku ini adalah adiknya Bisyr Al-Hafi. Abangku Bisyr Al-Hafi dah meninggal dunia. Saya adalah adik perempuannya.” Ketika mana mendengar seperti itu maka Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah pun menangis kerana terkenang akan waraknya abangnya itu Bisyr Al-Hafi Rahimahullah dan memang waraknya itu masih ada pada adiknya.

Sehingga dia mengatakan “Kalau benar kamu ini adiknya Bisyr Al-Hafi maka hukum mengambil cahaya itu adalah haram. Bukan kerana apa tapi kerana kamu itu adalah adiknya Bisyr Al-Hafi. Di rumah kamu itu keluar warak maka jangan kamu musnahkan kewarakan tadi itu walaupun pada dasarnya hukumnya boleh tapi bagi kamu tak boleh supaya kamu boleh terus mengikuti kewarakan abangmu itu.”

Subhanallah!! Orang-orang yang warak ini. Mereka bukan sahaja menjauhi daripada segala larangan ataupun yang diharamkan oleh Allah bahkan perkara-perkara yang syuhbat yang tidak jelas sumbernya pun mereka akan berhati-hati sungguh supaya apa yang masuk dalam diri mereka itu baik itu makanan, minuman, pakaian dan sebagainya itu. Mereka pastikan semuanya adalah yang baik-baik sahaja.

#MutiaraKata[HABIB NAJMUDDIN BIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

Advertisements